Idris ajak rakyat bangkit lawan ‘tali barut asing’

0
9

PAS mengajak orang ramai supaya “bangkit” melawan tali barut kuasa asing kerana bekerjasama dengan Institut Republikan Antarabangsa (IRI).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata pendedahan dibuat Presiden IRI Daniel Twining, menunjukkan beberapa parti politik bekerjasama dengan badan berpangkalan di AS itu.

Justeru katanya apa yang berlaku itu amat berbahaya kepada keselamatan negara.

“Kalau benar dakwaan IRI, bermakna sesiapa yang menjadi kerajaan akan ‘di-remote control’ oleh pihak yang memberi dedak kepadanya.

“Yang menjadi mangsa ialah rakyat dan negara kerana yang memimpin mereka tidak bermaya untuk melawan kehendak kuasa asing.

“Mereka bukan menjaga negara tetapi menjaga tuan besar yang memberi suapan kepada mereka,” katanya.

Pada 12 Julai lalu Twining mendedahkan IRI cuba “mengukuhkan” parti pembangkang di Malaysia sejak 2002.

Malah Twining berkata ia memberi kesan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) yang pada 9 Mei lalu menafikan BN daripada mendapat mandat kembali menjadi kerajaan Malaysia.

Bukan pembangkang saja

Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh mengesahkan kerjasama HARAPAN dengan IRI tetapi ia bukan untuk mempengaruhi politik tempatan.

Datuk Seri Najib Razak kemudian menggesa isu berkenaan disiasat kerana kerjasama berkenaan boleh dianggap lebih teruk berbanding tindakan agensi perisikan kerajaan semasa di bawah pentadbirannya menulis surat kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Ekoran laporan mengenai kerjasama IRI dan parti politik di Malaysia, mereka kemudian menjelaskan hubungan terbabit tidak saja berlaku dengan pembangkang sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Kata IRI mereka turut bekerjasama dengan parti-parti politik Malaysia merentasi spektrum BN dan HARAPAN.

“IRI adalah organisasi bukan partisan yang bekerjasama dengan rakan-rakan di Malaysia sejak tahun 2002 untuk mengukuhkan keupayaan parti politik bersaing dalam pilihan raya dan mematuhi amalan tadbir berorientasikan rakyat.

“IRI membekalkan sokongan bukan partisan kepada parti-parti yang meliputi seluruh spektrum politik dalam bentuk bengkel latihan dan rundingan dengan gabungan parti-parti HARAPAN dan BN.

“IRI tidak memberi bantuan kewangan kepada parti-parti politik di Malaysia,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.


Baca PAS desak HARAPAN dedah jumlah dana dari IRI


Idris berkata parti politik di Malaysia tidak seharunya memperjudikan kedaulatan negara dan rakyat hanya kerana mahukan kemenangan dalam pilihan raya.

Katanya pengalaman politik di Timur Tengah yang mengundang kuasa asing untuk menjatuhkan rejim tempatan mesti menjadi pengajaran.

Bekas anggota parlimen Bukit Gantang itu juga menegaskan orang ramai tidak boleh membiarkan pemimpin menjadi boneka kepada negara luar

“Rakyat Malaysia jangan pandang mudah isu campur tangan asing walaupun ketika kita masih menunggu janji 100 hari kerajaan, dan terbaru isu kapal mewah Equanimity yang baru sampai.

“Kedaulatan negara adalah hak kita, bangkit melawan tali barut kuasa asing,” katanya.

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here