[UPDATE] Angkara gaji

0
9

[UPDATE] Angkara gajiKETUA Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman (tengah) bersama Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9), Superintendan Mohd Razali Mohd Idrus (kiri) dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah menunjukkan pistol yang digunakan pengawal keselamatan dipercayai suspek yang menembak mati rakan sekerjanya di sebuah kilang ubat Taman Farmasi, Seri Iskandar ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Ipoh. FOTO L. Manimaran Mohd Hafizee Mohd Arophafizee@nstp.com.my

POLIS menahan pengawal keselamatan dipercayai suspek yang menembak mati rakan sekerjanya di kilang ubat di Taman Farmasi di Seri Iskandar, Jumaat lalu.

Risikan dan pemantauan dijalankan polis di rumah suspek berusia 52 tahun itu di Telok Bakong, Lambor Kanan, Bota berjaya menahannya 7.30 malam tadi selepas usaha menahannya sehari sebelum itu gagal kerana suspek tiada di rumah.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan, mangsa yang juga Orang Asli, Masri Pandak, 37, ditemui maut dengan kesan tembakan di dada kiri dipercayai ditembak rakan sekerjanya dengan satu das tembakan.

Dalam kejadian 7.30 hingga 8 malam itu, Masri ditemui mati dengan kesan tembakan di dada kiri dipercayai ditembak dari jarak dekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, selain menahan suspek malam tadi, polis turut merampas pistol jenis Walther PPK, satu kelopak peluru mengandungi 49 peluru dan satu balutan plastik mengandungi peluru.

Menurutnya, polis turut berjaya merampas pistol tiruan berwarna kelabu jenama Pietro Baretta Garoone VT buatan Itali, satu kelopak peluru kosong, sarung pistol berwarna hitam dan dua kotak plastik lutsinar masing-masing berisi 100 bebola besi dalam serbuan sehari sebelum itu.

Katanya, suspek mengaku menembak mangsa yang juga rakan setugasnya semasa sedang bertugas dalam syif bermula 3 petang hingga 11 malam dan dengan pengakuan itu polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 48 jam.

"Motif kejadian berlaku disebabkan isu gaji yang mana gaji suspek lebih tinggi dari mangsa menyebabkan mangsa tidak berpuas hati dan membuat aduan serta membawa cerita mengenai gaji suspek.

"Perselisihan faham ini dipercayai sudah berlaku sejak tiga bulan lalu sehingga menyebabkan suspek mengeluarkan pistol dan menembak mangsa," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Yahya berkata, pistol jenis Walther PPK yang dirampas daripada suspek dipercayai pistol yang digunakannya untuk menembak mangsa dan suspek memberitahu pistol berkenaan dibelinya dari negara jiran untuk mempertahankan diri.

Katanya, suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau membabitkan kes memiliki barang curi pada 2005 dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

'Pengawal keselamatan maut ditembak'

[UPDATE] Mati ditembak rakan sekerja

Minum cendol bersama sebelum tembak

Tabahlah wahai isteri, anak-anak…

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 2:34 PM

Berita Berkaitan

Minum cendol bersama sebelum tembak [UPDATE] 'Tangan kiri, kaki kanan mangsa hancur' Tabahlah wahai isteri, anak-anak… [UPDATE] Hutang, mabuk punya pasal Pembunuh Dr Fadi guna submesingan? Mungkin dah larikan diri [UPDATE] Penjenayah cuba culik untuk wang tebusan [UPDATE] Mati ditembak rakan sekerjaOriginal Article

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here