‘BN dah habis modal’

0
18

KLANG – BN didakwa kehabisan modal politik apabila memainkan sentimen kaum dan agama serta janji manifesto kerajaan PH, dalam kempennya di PRK Sungai Kandis.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, R Sivarasa berkata, semua isu itu bagaimanapun tidak akan menggugat PH untuk menang dengan majoriti selesa di Dun berkenaan 4 Ogos ini.

Katanya, rakyat hari ini bijak menilai dalam menangkis isu-isu berkaitan yang dirasakan tidak munasabah.

"Rakyat berfikiran waras dan mereka tahu, belum sampai 100 hari pun (PH) memerintah dan kita ada lima tahun untuk kotakan janji-janji ini.

"Takkan orang rasa semua (janji) kena dibuat hari ini. Jadi taktik begitu macam taktik terdesak oleh Umno dan ia tidak akan 'termakan' oleh pengundi.

"Pengundi tahu, kita ada satu penggal untuk sampaikan semua janji kita dan mereka sudah lihat banyak pengumuman penting telah dibuat perdana menteri dan Kabinet. Saya rasa isu tempatan memang mereka tahu dan kita ada janji kita untuk selesai di peringkat Selangor dan nasional. Saya yakin kita akan menang dengan majoriti cukup selesa," katanya ketika ditemui pada program Ziarah Kasih di Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Sivarasa yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar berkata, sepanjang seminggu berkempen, pengundi di kawasan tersebut memberikan reaksi positif terhadap calon PKR Dun Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

"Saya nampak momentumnya 'okay' dan dalam tempoh (berbaki) lima hari ini, kita akan tingkatkan tahap kempen.

"Kalau dulu (PRU14) dalam keadaan empat penjuru kita menang majoriti selesa lebih 12,000 undi, sekarang saya yakin sokongan itu masih ada, ditambah pula dengan sebahagian penyokong Pas yang akan mengundi calon kita," katanya.

PRK Sungai Kandis bakal diadakan 4 Ogos ini ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Sumber: Sinar Harian

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here