Kesavan: Anwar, Kak Wan cuba dipinggirkan dalam PKR

0
15

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail cuba dipinggirkan dalam parti “oleh pihak tertentu”, dakwa anggota parlimen Sungai Siput S Kesavan.

Justeru, kata calon naib presiden PKR cari kem Rafizi Ramli itu, kemenangan Anwar harus dipastikan dalam pemilihan bulan depan, jika terdapat pertandingan.

“Anwar Ibrahim merupakan tunjang belakang kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum (PRU14). Perjuangan beliau sejak 20 tahun memberikan hasil pada PRU ini. Ini tidak boleh dinafikan.

“Begitu juga perjuangan Kak Wan (Azizah) sejak parti ini ditubuh. Pengorbanan kedua-dua pemimpin ini tidak boleh dinafikan.

“Namun, hari ini ada pihak tertentu dalam PKR cuba meminggirkan Anwar dan Kak Wan. Kita (PKR) mesti mematahkan cubaan puak ini,” katanya.

Kesavan berkata demikian kepada Malaysiakini selepas membuat pengumuman rasmi bertanding dalam pemilihan parti di sebuah hotel di Ampang, semalam.

Sementara itu, Kesavan turut berkata gandingan Anwar-Rafizi lebih baik berbanding Anwar dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya tidak memperkecilkan jasa Azmin kepada parti. Perjuangan dan jasa beliau dihormati. Namun, saya percaya parti kini perlukan satu perubahan yang baharu.”

“Azmin sudah dua penggal memegang jawatan timbalan presiden bawah pimpinan Kak Wan. Dengan Kak Wan sedia memberi laluan kepada DSAI (Anwar), maka parti perlunya satu perubahan secara keseluruhan.”

“Bukan sahaja perubahan di peringkat presiden dan timbalan sahaja, ia perlu dipanjangkan ke akar umbi termasuk sayap Wanita, AMK dan Srikandi,” jelasnya beliau.

Ditanya sokongan anggota India dalam parti kepada Rafizi, Kesavan berkata ia amat memuaskan.

“Bagi jawatan presiden, hampir kesemuanya menyokong DSAI, dan bagi jawatan timbalan, ramalan saya adalah 70 peratus bersama Rafizi,” ujarnya.

Pemilihan parti PKR kali ini hangat selepas pertembungan antara Rafizi dan Azmin dilihat hampir tidak dapat dielakkan selepas Rafizi, kini naib presiden, mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden.

Selain Kesavan, anggota parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, anggota parlimen Selayang William Leong dan anggota parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul turut berada dalam kem Rafizi yang turut dikenali sebagai ‘Gerakan Reformasi’.

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here