Kuasa Penasihat Umno tak bercanggah dengan lembaga disiplin

0
14

SHAH ALAM – Veteran Umno menegaskan peranan bidang kuasa jemaah penasihat Umno dan lembaga disiplin mempunyai peranan berbeza.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, peranan bidang kuasa jemaah penasihat Umno lebih kepada satu badan yang berfungsi sebagai penasihat kepada Majlis Tertinggi Umno.

Menurutnya, lembaga disiplin yang ada hari ini khusus untuk melihat segala aspek yang melibatkan disiplin, termasuklah masalah disiplin dalam pemilihan, disiplin politik dan sebagainya.

"Bagaimanapun, pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat Umno hanya melihat apa yang patut dilaksanakan oleh MT termasuk menasihati dan memberi cadangan.

"Dua badan tersebut tidak bercanggah malah ia adalah salah satu cara memulihkan keyakinan ahli kepada parti," katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li ketuai Jemaah Penasihat Umno]

Mustapha berkata, sebagai contoh apabila Umno mencadangkan hendak mengurangkan umur kelayakan ahli Umno dari 18 tahun ke 16 tahun, mungkin badan ini berpandangan lain.

Jadi, katanya, perkara-perkara seperti ini yang boleh dimainkan oleh jemaah penasihat Umno kepada Majlis Tertinggi Umno dalam usaha memberi kebaikan kepada pentadbiran dan struktur Umno itu sendiri.

"Veteran Umno menyokong penubuhan ini memandangkan pada satu masa kita pernah menyarankan supaya badan ini ditubuhkan tetapi tidak ada maklum balas.

"Namun, bila ia dicadangkan oleh presiden sendiri, memang bertepatanlah malah percaya dari segi akar umbi, tiada masalah dan ditunggu-tunggu oleh keseluruhan ahli Umno," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bidang kuasa jemaah itu hanya akan diputuskan oleh Tengku Razaleigh termasuk ahli dan peranannya.

Sumber: Sinar Harian

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here