Tunku Azizah hasil dua buah buku masakan tradisi Pahang

0
12

KUALA LUMPUR: Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah pada Ahad menghasilkan dua buah buku masakan dan manisan tradisi Pahang sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengumpul dana Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Majlis pelancaran buku yang bertajuk Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang dan Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang itu disempurnakan sendiri oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Buku yang dijual dengan harga RM380 sebuah, diterbitkan oleh TFF adalah hasil kompilasi resepi yang didokumentasikan sendiri oleh Tunku Azizah sendiri dengan mencemar duli menjelajah setiap pelusuk daerah negeri Pahang.
"Buku ini saya saya terbitkan dengan menggunakan modal pusaka yang diperoleh daripada ayahanda saya sendiri (Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail) bagi tujuan untuk mengisi dana TAFF. "Selain dana yang diperoleh itu dapat membantu lebih ramai pasangan yang telah lama berkahwin, untuk memperoleh anak menjalani rawatan kesuburan (IVF), ia juga dapat memberikan pahala kepada Almarhum Ayahanda saya," titah Tunku Azizah selepas majlis pelancaran dua buah buku berkenaan di sebuah hotel di sini Ahad.
Turut berangkat Sultanah Pahang Sultanah Hajah Kalsom, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan anakanda putera puteri baginda Tunku Azizah.
Untuk rekod setakat ini seramai 493 pasangan telah mendapat manfaat daripada penajaan prosedur perubatan yang ditawarkan sepenuhnya oleh TAFF dan seramai 115 anak berjaya dilahirkan menerusi kaedah rawatan ini.
Mengulas lanjut tentang buku berkenaan, Tunku Azizah bertitah ia dihasilkan dalam tempoh setahun dan baginda sendiri mempelarinya daripada orang kampung tentang cara memasak makanan dan manisan tradisional Pahang.
"Bakat saya memasak diwarisi oleh Almarhum bonda(Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah) dan turut mendapat galakan ayahanda (Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail) yang mahu saya belajar memasak sejak dari kecil.
"Malah Almarhum ayahanda juga berpesan, baginda mahu orang yang datang istana supaya memuji makanan sedap yang dihidangkan dan bukannya sebab besar dan cantiknya istana," titah Tunku Azizah.
Sementara itu, Tengku Abdullah turut melahirkan rasa bangga atas penerbitan buku berkenaan yang disifatkan memartabatkan lagi warisan dan seni masakan tradisional Pahang.
— BERNAMA

Sumber RSS: Astroawani.com

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here