Tidur menggigil, makan sekali sehari antara pengalaman mencabar sukarelawan

0
13

PENGALAMAN sebagai sukarelawan memang sukar digambarkan dengan kata-kata apatah lagi berdepan dengan risiko nyawa melayang apabila diacu senapang oleh puak pemberontak.
Kisah suka duka itu dikongsi Presiden Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan yang sering menyertai misi kemanusiaan sejak tahun 2005.
Akuinya, menjadi sukarelawan bukanlah tugas mudah. Dia masih ingat pengalaman pertama kali masuk ke Syria pada tahun 2016 dalam keadaan perang sedang berlaku.
“Ketika saya bersama anggota sukarelawan lain masuk dari Turki ke Syria melalui lorong tikus merentasi sungai, berjalan kaki, naik lori dan menempuh sekatan tentera. “Lebih menyedihkan ketika di kem penempatan, tiada air untuk mandi. Suhu pula mencecah 10 darjah celcius sehingga malam tidur mengiggil dan makan cuma sekali sehari kira-kira jam 4 petang,” katanya kepada Astro Gempak.
Muslim Care Malaysia mempunyai lima sekolah di Syria, tiga di Idlib dan dua di sempadan Reyhanly. Gambar fail
Ujarnya, Muslim Care Malaysia antara badan bukan kerajaan (NGO) yang mampu menyalurkan bantuan sekurang-kurangnya RM100,000 setiap bulan ke Syria dan mempunyai lima sekolah iaitu 3 buah di Idlib dan 2 buah di sempadan Reyhanly.
Lebih menarik, NGO ini juga mempunyai kilang roti bawah tanah di sana yang masih beroperasi sehingga kini.
Zulkifli memberitahu sehingga kini ada 300 sukarelawan Muslim Care Malaysia yang aktif mengikuti misi kemanusiaan.
Zulkifli (hadapan, tiga kanan) ketika menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa Lombok.
Di sebalik semangatnya untuk turut serta dalam misi berisiko ini, Zulkifli juga pernah berkhidmat di Petronas selama 25 tahun.
Siapa sangka, dia mengambil keputusan bersara awal pada penghujung tahun 2016 untuk memberi sepenuh perhatian terhadap kerja sukarelawan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana membuat keputusan yang tepat,” katanya.

Sumber RSS: Astroawani.com

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here