Debaran buru tiga mata

0
7

Debaran buru tiga mata Reuters

Manchester, England: Tekanan memuncak buat Manchester United ketika mereka berkunjung ke Burnley, Ahad ini terdesak untuk mengelak kekalahan ketiga berturut-turut dalam apa yang dilihat permulaan buruk kempen Liga Perdana Inggeris musim ini.

Kekalahan 0-3 di laman sendiri kepada Tottenham Hotspur awal pagi Selasa lalu menyusuli kekalahan 2-3 di Brighton dan kelemahan benteng pertahanan menjadi punca dua kekalahan anak buah Jose Mourinho.

Kemarahan Mourinho ketika sidang akhbar pasca perlawanan meningkatkan tumpuan terhadap corak pengurusannya, namun tiada sebarang petunjuk daripada lembaga pengarah United bahawa mereka mahukan perubahan di bangku simpanan.

Bagaimanapun, kekalahan di Turf Moor pasti mencetus kebimbangan besar mengenai hala tuju kelab itu di bawah kendalian bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid itu.

Mungkin agak melegakan Mourinho kerana Burnley belum menemui sentuhan seperti dipamerkan mereka musim lalu, apabila mereka secara mengejut berakhir di tangga ketujuh liga dan tidak disangka-sangka layak ke Liga Europa.

Clarets tidak menang dalam tiga aksi awal mereka dan selepas kalah di laman sendiri di tangan Watford, mereka tumpas 2-4 di Fulham, Ahad lalu.

Anak buah Sean Dyche terpaksa bermain enam perlawanan kelayakan Liga Europa sepanjang Julai dan Ogos dan ia jelas menjejas skuad kecil itu.

United akan turun tanpa pertahanan tengah Phil Jones, manakala pemain sayap Iceland, Johann Berg-Gudmundsson diragui buat Burnley kerana kecederaan hamstring.

Pemain tengah United dari Sepanyol, Ander Herrera percaya pilihan yang banyak dimiliki Mourinho bermakna mereka boleh menemui pendekatan terbaik tidak lama lagi.

“Kami bertindak baik sepanjang 60 atau 70 minit (menentang Spurs) dan patut mendahului 2-0 sebelum rehat, tapi kami gagal melakukannya. Jika kami mahu menang perlawanan berikutnya menentang Burnley inilah komitmen yang kami perlu ada. Asasnya sudah terbukti. Inilah cara yang patut kami lakukan jika mahu menang menentang Burnley.

“Kami mempunyai kualiti, skuad yang amat besar. Kami melakukan enam pertukaran dan bagi 70 minit pertama, kami bagus,” kata Herrera.

Ketika Spurs yang mempunyai rekod 100 peratus, pasti tampil dengan rangsangan kuat selepas kejayaan mereka di Old Trafford, lawan mereka malam esok Watford muncul pasukan mengejutkan pada kempen kali ini kerana pasukan kendalian Javi Gracia turut menang semua tiga perlawanan awal.

Juara Manchester City dijangka kembali mencetak kemenangan di laman sendiri menentang Newcastle United dalam perlawanan yang menemukan Pep Guardiola dengan warga senegaranya dari Sepanyol, Rafael Benitez.

City terpaksa bangkit untuk seri 1-1 dengan pasukan pendatang baru Wolverhampton Wanderers minggu lalu, manakala Newcastle dijangka mengulangi pendekatan bertahan digunakan ketika mereka kalah 1-2 di laman sendiri kepada Chelsea.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 6:35 AM

Berita Berkaitan

Tonik jumpa City Ramalan Liga Perdana Inggeris Minggu 2 United buru kemenangan hatrik EPL kembali bingit 12 Ogos Mourinho yakin United bangkit Benam Swansea Misi atasi Magpies Tambah derita UnitedOriginal Article

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here