Indahnya aturan jodoh

0
9

Indahnya aturan jodohHILMI Syukran bersama Nurul Huda ketika berbulan madu di Langkawi. Mahaizura Abd Malikmahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berkenalan cuma sehari melalui Facebook (FB) sebelum kedua-duanya bertemu dan sepakat meneruskan ikatan ke jinjang pelamin.

Itulah uniknya kisah cinta pandang pertama, Hilmi Syukran Mohd Rashid, 25, dan suri hatinya, Nurul Huda Hamat, 25, yang selamat diijabkabulkan pada 18 Ogos lalu.

Guru bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Kampung Hubong, Endau, Johor itu berkata, perkenalan mereka berlaku secara tidak sengaja apabila dia jatuh hati pandang pertama melihat foto isteri bersama rakannya di FB yang dimuat naik rakan mereka pada Aidilfitri lalu.

“Pada 18 Julai lalu, saya terpandang gambar kawan saya bersama empat rakan wanitanya sebelum saya komen ‘jubah hitam’ kerana dalam ramai-ramai itu, saya suka tengok dia. Tak sangka pula kawan sekolah saya itu ‘tag’ FB isteri saya yang juga kawan baik dia.

“Apabila tahu identiti empunya badan jubah hitam itu, saya pun memberanikan diri menghantar mesej peribadi di FB dan minta izin berjumpa ibu bapanya.

“Kami bertemu di rumah keluarganya di Kuala Terengganu pada hari kedua perkenalan kami sebelum saya menghantar rombongan merisik dan meminang keesokkannya serta menetapkan tarikh pernikahan sebulan selepas itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.


HILMI Syukran bersama ibunya merisik Nurul Huda selepas tiga hari berkenalan melalui FB.

Menurutnya, biarpun perkenalan singkat, urusan mendirikan rumah tangga mereka berjalan lancar dan mendapat restu kedua-dua keluarga.

“Macam tidak percaya dia pun ada perasaan yang serupa apabila saya mengajak dia berkahwin.

“Cantik dan hebatnya aturan Allah, tiba-tiba tiga hari saja segalanya boleh berubah sekelip mata.

“Daripada mula kenal sampailah diijabkabulkan, semuanya dipermudahkan, cuma lucunya kami malu bersentuhan tangan dan bertentang mata ketika acara membatalkan air sembahyang,” katanya.

Menurutnya, dia berkongsi kisah perkenalan dengan isterinya di FB, Selasa lalu, untuk memotivasikan mereka yang masih mencari pasangan hidup supaya yakin dengan ketentuan Allah.

“Sebelum ini sudah empat tahun saya berusaha mencari pasangan hidup, namun macam-macam berlaku, jatuh, bangun dan kecewa semuanya saya lalui.

“Rupanya Allah hendak beri saya lebih baik kerana pada akhirnya saya dipertemukan dengan orang yang tepat dan mempunyai banyak persamaan dengan saya.

“Bukanlah niat saya mahu popular apabila membuat posting itu sebaliknya mahu memberi inspirasi kepada mereka di luar sana supaya yakin dengan kerja Allah dan jangan putus asa,” katanya.


HILMI Syukran bersama Nurul Huda pada majlis persandingan.

Sementara itu, Nurul Huda yang bertugas di sebuah sekolah di Sentul, di sini, berkata, hatinya terbuka menerima Hilmi Syukran sebagai suami kerana tertarik dengan cara dan keikhlasan lelaki itu mahu memperisterikannya.

“Hati saya dapat menerimanya kerana dia berani datang bertemu keluarga saya biarpun kami baru saja berkenalan. Di situ saya nampak dia tidak main-main dan benar-benar ikhlas mahukan saya menjadi isterinya.

“Saya dapat rasakan dia pilihan tepat kerana muncul pada waktu saya bersedia mendirikan rumah tangga.

“Alhamdulillah, segalanya lancar malah keluarga juga tidak rasa pelik dan membantah keputusan saya kerana mengambil keputusan berkahwin dengan orang yang baru dikenali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 6:50 AM

Berita Berkaitan

Rai cinta tentera Hanya trofi pengubat Bos Gaurus Treler terjunam, pemandu okay Dakwah tanpa henti Sisi berbeza makhluk halus Kuat demi semua [METROTV] Tahniah, kami doakan kekal bahagia, sejahtera [METROTV] Rita kongsi kisah suka dukaOriginal Article

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here