Kejamnya!

0
11

Kejamnya!BANGKAI gajah dipercayai ditembak oleh pemburu untuk mengambil gadingnya untuk dijual di pasaran Asia, bangkai gajah berkenaan ditemui Jabatan Perlindungan ditemui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang di Hutan Simpan Lesung, Rompin pada penghujung tahun lalu. FOTO Ihsan PERHILITAN Amin Ridzuan Ishak dan T.N.Alageshcnews@nstp.com.my

DITEMBAK di kepala sebelum gajah dewasa dipotong di bahagian mulutnya menggunakan gergaji rantai untuk mendapatkan gadingnya.

Itu penyeksaan dilalui gajah dewasa yang kematiannya dikesan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang di hutan simpan di negeri ini pada penghujung tahun lalu yang menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan ancaman pemburu haram.

Penjualan gading gajah mampu memberi pulangan lumayan iaitu sehingga mencecah AS$2,000 (RM8,100) bagi setiap satu kilogram (kg) untuk pasaran luar negara menyebabkan gajah kini berdepan ancaman pemburu haram.

Pembersihan hutan mendedahkan Pahang yang dianggarkan mempunyai populasi di antara 300 hingga 400 Gajah Asia sebagai sasaran utama sindiket terancang terdiri di kalangan pemburu haram yang mempunyai rangkaian di negara jiran serta rantau ini.

Kawasan hutan dikenal pasti menjadi tumpuan pemburu bagi menangkap haiwan mamalia itu adalah di Taman Negara Endau, Lesung, Selancar, Cenderawasih, Bukit Ibam, Chemomoi, Kemasul, Hutan Simpan Jelai, Kenong, Kechau, Som, Tekai, Bekelah, Ulu Lepar, Sungai Lembing dan Bukit Sagu.

Pengarah Jabatan PERHILITAN Pahang, Ahmad Azhar Mohamed berkata, menerusi risikan pihaknya mengesan pergerakan itu turut memasang tonto untuk memeriksa operasi pihak berkuasa dan memberikan maklumat sekiranya melihat kelibat gajah di mana-mana lokasi.

Katanya, pembukaan hutan menyebabkan gajah berkonflik dan keluar dari hutan untuk mencari kawasan baharu mempunyai sumber makanan seperti di ladang menyebabkannya mudah menjadi sasaran pemburu.

"Memudahkan lagi kerja mereka sekiranya kawasan berkenaan mempunyai akses jalan seperti laluan kayu balak, memadai sekiranya ia boleh dilalui motosikal kerana mereka hanya perlu membawa gergaji rantai dan senapang sahaja.

"Pemburu akan mengambil peluang pada masa kita tidak berada di lokasi, mereka akan menembaknya di bahagian kepala untuk memastikannya mati sebelum melapahnya di bahagian mulutnya bagi mendapatkan gadingnya yang turut bersambung dengan gigi taring.

"Kaedah itu cukup kejam, kami pernah menemui bangkai gajah yang bahagian mulutnya sudah lagi tidak ada selepas dilapah pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya… sedih melihat keadaan berkenaan," katanya ketika ditemui NSTP di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Azhar berkata, pihaknya percaya sindiket berkenaan turut bergerak ke seluruh negara dan mempunyai rangkaian luas termasuk di peringkat antarabangsa berikutan permintaan tinggi terhadap gading gajah.

"Kita ada membuat siasatan dan risikan, cuma ia mengambil masa bagi menangkap dalangnya. Di Gerik, Perak baru-baru ini pun ambil masa beberapa tahun sebelum pelakunya ditangkap.

"Pencuri ini pun bijak kerana memasang banyak tonto bagi melihat pergerakan pihak berkuasa, mereka sanggup melakukan apa sahaja kerana kegiatan itu menawarkan pulangan lumayan," katanya.

Beliau berkata, mengikut harga di pasaran gelap setiap satu kilogram gading berharga di antara RM500 sehingga RM2,000 di Malaysia dan harganya boleh meningkatkan sehingga AS$2,000 apabila dijual di luar negara.

"Permintaan terhadapnya adalah tinggi, sebab itu masih ada orang sanggup membunuh gajah bagi mendapatkan gadingnya.

"Mereka yang didapati menangkap dan membunuh gajah yang diletakkan sebagai haiwan dilindungi boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun mengikut Seksyen 68 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 1:11 PMOriginal Article

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here