Koleksi klasik

0
8

Koleksi klasik SAMPUL surat sangat bermakna yang disimpan Koh. FOTO Muhd Asyraf Sawal TN Alageshcnews@nstp.com.my

Kuantan: Memiliki sampul surat hari pertama bagi memperingati Hari Kemerdekaan negara adalah koleksi klasik berharga yang jarang ditemui pengumpul masa kini.

Namun, bagi ahli perniagaan, Kent Koh, 33, sangat berbangga menyimpan koleksi itu yang mengenang kemerdekaan pertama negara dan sambutan ulang tahun ke-25.

Katanya, koleksi itu dibelinya 10 tahun lalu daripada seorang individu yang bermurah hati menjual kepadanya untuk disimpan bersama 300 sampul surat hari pertama yang lain.

Koh berkata, dia mengumpul setem dan sampul surat hari pertama sejak berusia 15 tahun, malah hobi itu menjadikan dia seorang kaya dengan semangat patriotisme dan cintakan negara.

“Saya mempunyai sampul surat hari pertama bagi Hari Kemerdekaan pertama yang dikeluarkan pada 31 Ogos 1958 berserta setem tertera gambar Stadium Merdeka, sementara satu lagi bertemakan Hari Kemerdekaan ke-25 yang dikeluarkan pada 31 Ogos 1982 berserta setem tertera gambar Dataran Merdeka pada 1957 dan 1982.

“Pada masa kini sukar untuk memiliki sampul surat hari pertama bertemakan sambutan kemerdekaan kerana orang ramai lebih berminat membuat pertukaran atau menjualnya pada harga yang dipersetujui.

“Saya memiliki kedua-duanya selepas berunding dengan pengumpul,” katanya.

Selain itu, Koh memiliki koleksi sampul surat hari pertama yang bertemakan penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963 dengan latar belakangnya gambar bangunan Parlimen.

Bapa seorang anak itu memberitahu, media sosial penting bagi pengumpul mengembangkan koleksi mereka, selain bertukar pandangan mengenai koleksi masing-masing.

“Jika dulu sampul surat hari pertama boleh dimiliki pada harga ratusan ringgit, kini keadaan berbeza kerana harga semakin meningkat malah boleh mencecah ribuan ringgit disebabkan banyak faktor.

“Apabila kami bercakap mengenai koleksi Hari Kemerdekaan, koleksi klasik dan jarang ditemui kini,” katanya.

Katanya, dia bersedia menambah koleksi sampul surat hari pertama Hari Kemerdekaan jika harga ditawarkan berpatutan dan tidak menolak kemungkinan harga koleksi itu boleh meningkat pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 6:40 AMOriginal Article

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here