Nostalgia zaman sekolah

0
7

Nostalgia zaman sekolahNAIM (kiri) dan Ismail. FOTO Aziah Azmee Michelle Gunmichellegun@hmetro.com.my

Setiap individu mempunyai kenangan manis menyambut Hari Kebangsaan.

Bagi selebriti Ismail Izzani dan Naim Daniel, kenangan menyambut ulang tahun hari bersejarah negara itu ialah ketika mereka bersekolah.

Pelakon dan penyanyi Naim Daniel, 21, berkata, mendeklamasikan sajak sewaktu di sekolah menengah sentiasa menjadi kenangan sukar dilupakan.

“Ketika itu, saya berada di tingkatan lima. Selaku ketua pengawas dan pelajar, saya diminta guru mendeklamasikan sajak sempena sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Menurut pelakon Bisik Pada Langit itu, dia menghasilkan sajak sendiri dan menonton filem Embun untuk mendapatkan ilham.

“Sebagai generasi muda, saya tidak pernah merasai kesusahan dan pengorbanan pejuang silam demi membebaskan tanah air daripada penjajah.

“Jadi, filem itu banyak memberi idea kepada saya untuk menghasilkan sajak,” katanya.

Sebagai anak seni, Naim berpendapat artis memainkan peranan penting bagi mendidik masyarakat mengenai semangat cinta pada negara.

“Selain membuat persembahan di ambang merdeka, artis boleh menyumbang bahagian mereka menerusi pelbagai platform media.

“Kalau lihat sekarang, ramai tidak menghias dan mengibarkan bendera pada kenderaan atau rumah. Namun, ini terpulang kepada persepsi masing-masing.

“Paling penting, jangan hanya terikut-ikut tetapi langsung tiada semangat merdeka,” katanya.

Mahu rehat berlakon

Bercerita mengenai karier seninya pula, Naim kini mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada nyanyian.

“Sejak menceburi bidang nyanyian, saya menjadi lebih bersemangat dan tidak sabar memperkenalkan single kedua, Sempurna yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Lagipun, saya berlakon sejak usia lapan tahun dan berasakan tiba masa untuk berehat sebentar dan meneroka bidang baru,” katanya.

Biarpun sudah memperlahankan karier lakonan, Naim memberitahu masih menerima tawaran daripada produksi.

Tolak permintaan guru buat persembahan

Bagi Ismail pula, membuat persembahan pentas di hadapan guru dan murid sewaktu tahun lima kenangan manis menyambut Hari Kebangsaan.

“Saya masih ingat menolak permintaan guru untuk membuat persembahan itu. Selepas dipujuk barulah saya setuju,” katanya.

Anak muda berusia 18 tahun ini memberitahu dia memilih lagu Jaclyn Victor, Gemilang untuk dipersembahkan pada acara berkenaan.

“Ketika di pentas, saya tiba-tiba rasa tidak puas hanya menyanyi sebuah lagu. Kalau boleh saya mahu terus nyanyi kerana rasa seronok pula,” katanya.

Kini sudah dewasa, penyanyi meningkat naik meraikan ulang tahun hari bersejarah itu bersama rakan.

“Kami menghias kereta dan bersiar-siar di sekitar ibu kota serta Dataran Merdeka dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

“Bagi saya, semangat patriotik boleh ditunjukkan dengan cara menyeronokkan,” katanya.

Berkongsi pendapatnya mengenai erti kemerdekaan, Ismail berkata segelintir rakyat Malaysia terlupa maksud sebenar merdeka.

“Merdeka bukan sekadar perkataan dan kita perlu memahami maksud sebenarnya.

“Pada zaman ini, kita boleh mengelak daripada dijajah dengan bebaskan diri daripada pengaruh luar yang tidak baik,” katanya.

Mahu cuba banyak bidang

Mengenai perkembangan karier seninya, Ismail bakal muncul dengan single baru berjudul Bidadari.

Menariknya, lagu ciptaan Omar K itu dihasilkan berdasarkan idea Ismail sendiri.

“Single itu hampir sama dengan lagu Sabar cuma rancak. Sudah tentu saya akan meneruskan lagi konsep tarian,” katanya yang ingin meneroka lebih banyak bidang.

Dalam perkembangan lain, Ismail dan Naim akan berganding dengan kumpulan The 4aith serta pengurusan World Peace Entertainment bakal muncul dalam sebuah program realiti.

Mereka akan tinggal dalam sebuah rumah selama seminggu dan segala aktiviti dilakukan akan dipaparkan kepada penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 6:30 AM

Berita Berkaitan

Ada keluar berdua… Lambang jati diri Kelainan dalam Luar Biasa Enggan malukan diri Tak kena buli lagi Filan mahu gembirakan peminat Suami keutamaan Niena Angkat martabat Irama MalaysiaOriginal Article

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here