'Mereka tetak, kelar beberapa kali…'

0
15

'Mereka tetak, kelar beberapa kali…'LAPORAN media, sebelum ini. Mohd Azam Shah Yaacobmohdazam@nstp.com.my

“PADA waktu itu, saya lihat mereka menghentak kepala dua bapa saudara saya dengan tukul besi beberapa kali dan saya hanya mampu menjerit meminta tolong," ujar Shahwanar Mohamad Yusof, 18.

Remaja itu adalah saksi kejadian bunuh dipercayai dilakukan tujuh lelaki warga Myanmar termasuk ustaz sekolah tahfiz dalam kejadian di Blok 20, Taman Wilayah, di Ampang, Jumaat lalu.

Menurut Shahwanar, dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, tujuh lelaki berkenaan turut menetak dua bapa saudaranya dengan kapak yang dibawa selain mengelar mereka beberapa kali menggunakan parang.

Menceritakan kejadian itu, dia berkata, sebelum kejadian, tujuh lelaki itu mencari bapanya iaitu Mohamad Yusof di rumah mereka yang terletak di tingkat tiga flet berkenaan.

Katanya, pada masa yang sama, dua bapa saudaranya, iaitu Chaw Kat Ali Imran Ali, 33, dan Mohamed Ali Imran Ali, 45, terserempak dan menegur tujuh lelaki berkenaan.

“Bapa saudara saya iaitu Mohamed Ali menegur dan bertanyakan atas urusan apa mereka datang beramai-ramai.

“Namun, tidak sampai satu minit bersembang, tiba-tiba tujuh lelaki berkenaan mengeluarkan tukul besi, kapak serta parang yang disorok dalam jubah sebelum menyerang mereka (Chaw kat dan Mohamed Ali)," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Gombak , hari ini.

Shahwanar berkata, ketika kejadian, dia berada di pintu hadapan rumahnya dan sempat mencapai parang bagi melindungi dirinya, bapanya, Mohamad Yusof yang terlantar di rumah serta ibu saudaranya, Halimah.

Katanya, pada waktu kejadian, kawasan flet berkenaan tidak ada ramai penghuni berikutan rata-rata sudah keluar untuk solat Jumaat.

“Kejadian itu berlaku dalam tempoh lebih kurang tiga minit.

“Sebaik saya menjerit meminta tolong dan beberapa penduduk keluar melihat, kumpulan tujuh lelaki itu kemudian lari meninggalkan kawasan itu dengan menaiki dua kenderaan," katanya yang mengakui trauma dengan kejadian berkenaan.

Menurut Shahwanar, dua bapa saudaranya masih bernafas, namun nazak ketika dihantar ke Hospital Selayang oleh jiran.

“Ketika itu, kedua-duanya masih lagi bernafas biarpun tidak bersuara.

“Saya hanya mengetahui bapa saudara Chaw kat Ali meninggal dunia pada petang hari kejadian, manakala bapa suadara Mohamed Ali meninggal pada waktu malam sebaik di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang," katanya.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, apabila jenazah kedua-dua beradik selamat dikebumikan selepas solat Zohor, hari ini.

Berita berkaitan:

Hentak, tetak, kelar dua beradik

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 7:03 PMOriginal Article

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here