Juara milik Da'i Adam

0
10

Juara milik Da'i AdamDA’I Adam (tengah) bersama Da’i Imran (kiri) dan Da’i Haziq pada pertandingan akhir Da'i Musim 6 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam ini. FOTO Aziah Azmee Ardini Sophia Sinahellinie@hmetro.com.my

DA’I Adam muncul juara program Da'i Pendakwah Nusantara musim keenam yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam ini.

Adam atau nama sebenarnya Muhammad Adam Muhibullah Abdullah membawa pulang wang tunai berjumlah RM60,000 berserta trofi dan tiket umrah untuk dua orang tajaan Almas Beauty & Health.

Anak kelahiran Ranau, Sabah itu turut diangkat sebagai Da'i Pilihan Almas menerima wang tunai RM2,000 dan produk Almas bernilai RM2,000.

Dua lagi peserta yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Da'i Imran Mohd Zaki dan Da'i Haziq Safwan Norazman masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan berkenaan.

Imran membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000, trofi dan tiket umrah untuk seorang, sementara Haziq pula memperoleh wang tunai RM10,000, tambahan wang sagu hati RM2,000 serta produk Almas bernilai RM2,000.

Haziq turut dinobatkan sebagai Da'i Pilihan penonton menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan juga sebuah trofi.

Da'i Pendakwah Nusantara musim keenam diacarakan Datuk Rosyam Nor dan Da'i Izzhar dengan diadili juri tetap Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud serta Profesor Madya Dr Sharifah Haayati Syed Ismail.

Peringkat akhir pertandingan itu turut diserikan dengan kehadiran Oki Setiana Dewi sebagai Tetamu Nusantara.

Mursyid Da'i musim keenam ialah Datuk Mohd Zawawi Yusoh manakala Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz Fakhrul Radhi Khamarudin bertindak sebagai Murabbi.

Sistem pemarkahan memperuntukkan 80 peratus penilaian daripada juri tetap dan 20 peratus daripada Murabbi.

Tiga finalis itu diuji dengan dua segmen iaitu tazkirah berkonsepkan isu ilmiah berganding dengan selebriti iaitu Ashraf Muslim, Elly Mazlein dan Naim Daniel.

Manakala bahagian kedua adalah tajuk pilihan sendiri dan mereka wajib bertaranum sebelum memulakan penyampaian.

Pentas akhir itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan iaitu Tomok, Aizat Amdan dan Azmi Caliph Busker.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 11:31 PMOriginal Article

Hantar komen anda

Hantar komen
Please enter your name here